HULU TERENGGANU – Seorang wanita yang hamil lapan bulan menerima ujian berat apabila suami yang menjadi tempat bergantung dijemput Ilahi pada pertengahan Ramadan lalu.
Noor Shakilatul Shida Mamat, 30, menganggap sambutan Syawal kali ini bagaikan tidak bermakna selepas suami, Ku Asmawi Ku Hamad, 37, pergi secara mengejut akibat serangan jantung pada 11 April lalu.
“Lebih menyedihkan, suami meninggal dunia selepas kami selesai membeli pakaian raya.
“Arwah memilih pakaian sedondon berwarna hijau untuk digayakan pada pagi raya,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Dor, Ajil di sini baru-baru ini.
Menurut ibu tiga anak itu, pemergian suaminya itu bagaikan mimpi kerana pemandu lori tersebut kelihatan ceria sewaktu membawa mereka membeli pakaian raya di pekan Kuala Berang.
Ku Asmawi dilihat tidak sabar untuk mencuba baju-T yang baru dibeli sebaik tiba di rumah.
“Sejam selepas mencuba baju raya, arwah suami tiba-tiba rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.
“Pegawai perubatan mengesahkan kematian suami akibat serangan jantung. Semua berlaku secara mengejut sebab arwah cuma batuk ringan pada hari kejadian,” kata suri rumah itu.
Noor Shakilatul memberitahu, dia tidak mempunyai kekuatan untuk menyediakan hidangan nasi minyak dan sate yang merupakan makanan kegemaran arwah suaminya pada 1 Syawal nanti.
Begitupun, wanita itu berkata, dia akan cuba menguatkan diri demi masa depan tiga anak mereka iaitu Ku Nur Aafiya Humaira, 4, Ku Muhammad Haikal, 7, dan Ku Adam Mukhriz, 10.
“Paling sedih memikirkan anak keempat yang bakal saya lahirkan pada hujung bulan depan tidak sempat mendapat kasih sayang bapanya.
“Saya berdoa nasib saya dan anak-anak dilindungi Allah. Selama ini, kami bergantung semata-mata dengan pendapatan arwah suami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE