fbpx

Sehari bernikah, pasangan suami isteri ditahan edar heroin 9.27kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TELUK INTAN – Pasangan suami isteri yang baharu sehari melangsungkan perkahwinan ditangkap bersama 9.26 kilogram (kg) dadah jenis heroin di Chikus, Langkap, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suami isteri berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid pada pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, ketika tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk jual beli dadah dan turut ditemui, beg pakaian mengandungi 20 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 9.268kg.

“Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM77,000,” katanya dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Menurut beliau, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 10,000 penagih dan dipercayai untuk edaran luar daerah Hilir Perak.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine dan semakan juga mendapati kedua-dua pengantin baharu itu mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik.

“Permohonan reman ke atas mereka akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan individu lain atau ahli sindiket yang terlibat dalam tangkapan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI