PETALING JAYA – Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan lubuk rezeki buat pengusaha inap desa dan penginapan bajet di seluruh negara apabila kebanyakan mereka tidak menang tangan menguruskan tempahan yang masuk sejak Mac lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati hampir semua inap desa penuh ditempah penduduk tempatan dan perantau yang pulang menyambut Aidilfitri bermula 18 April sehingga 1 Mei depan.
Di Kota Bharu, Kelantan, pengusaha inap desa A&P Inn, Paizah Abdul Wahab berkata, kesemua 14 bilik inap desanya terdiri daripada 12 bilik deluxe dan dua bilik keluarga di tempah perantau sejak bulan Mac lalu.
Jelasnya, inap desa yang terletak di Batu 31, Machang, Kelantan itu mampu menampung 50 orang dalam satu-satu masa dengan harga bermula RM80 sehingga RM120 sehari.
Tambah Paizah, rumah keluarga yang sempit dan tidak dapat menampung jumlah yang ramai menyebabkan perantau memilih untuk tinggal di inap desa yang lebih selesa dan privacy.
“Selain itu, ada sesetengah mereka sudah tiada rumah di kampung kerana ibu bapa telah meninggal dunia, manakala rumah pusaka diserahkan kepada adik beradik lain.
“Jadi mereka terpaksa menyewa inap desa setiap kali pulang ke kampung,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Rumah Tamu Casa Dura, Rahimah Mohamad memberitahu, penginapan yang diusahakan sejak 2005 di Pulai Chondong, Machang yang mampu menampung 100 orang penuh ditempah sejak Mac lalu.
“Rumah tamu ini mempunyai 14 jenis bilik bermula dengan ‘apartmen’ berharga RM250 sehingga bilik bujang dan dorm berharga RM80 sehari.
“Fenomena orang ramai memilih tinggal di inap desa sejak beberapa tahun lalu menjadi lubuk rezeki kepada pengusaha setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah.
“Di sini tempahan kami penuh sehingga hujung bulan kerana anak perantau mahukan keselesaan ketika pulang beraya,” ujarnya.
Sementara itu, di Pontian, Johor, Pengusaha Homestay Classic Al-Idrus, Syed Hamid Syed Salim berkata, sejak lapan tahun lalu, inap desanya tidak ketinggalan menerima tempahan daripada perantau yang ingin merasai suasana beraya di kampung.
Katanya, bayaran yang dikenakan RM280 dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang luas serta kawasan bagi aktiviti BBQ.
“Tempahan diterima daripada seluruh negara, saya menawarkan sebuah rumah besar dengan suasana kampung dalam bandar,” ujarnya.
Bagi pemilik D’Tanjung Piai Jom Stay, Fazie Saadon, sambutan Aidilfitri ibarat rezeki terpijak buat dirinya apabila kesemua inap desa termasuk enam unit bilik studio dengan kadar sewa antara RM120 hingga RM650 semalam laris disambar pelanggan.
“Dengan kehadiran mereka dapatlah menampung kemerosotan pelanggan pada bulan puasa. Kami menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang dan aktiviti berbasikal mengelilingi kampung,” jelasnya.