fbpx

Rendang udang galah, hidangan istimewa kru kabin di awan biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Deja dan kabin kru bersama-sama penumpang ketika penerbangannya baru-baru ini.

SEPANG – Sambutan Aidilfitri jauh daripada keluarga iaitu di awan biru oleh kabin kru sebuah syarikat penerbangan tambang murah disifatkan sama meriah seperti berada di rumah apabila aneka juadah tradisi dibawa untuk dijamah semasa penerbangan.

Berkongsi hal itu, seorang pramugari, Deja Sabri, 30, berkata, kemeriahan be­kerja di awan biru pada Hari Raya Aidilfitri diserikan dengan aneka menu tradisi seperti rendang, nasi impit dan soto sekali gus berupaya mengubati ke­rinduan kepada keluarga.

“Sejak bertugas pada 2019, saya memang sentiasa terpilih untuk bekerja pada hari raya pertama. Jujurnya, perasaan gembira kerana dapat membawa orang pulang ke kampung selain sedih kerana jauh daripada keluarga.

“Jadi, bagi mengubati rasa itu, saya akan membawa juadah disediakan oleh ibu iaitu rendang udang galah, nasi impit serta soto untuk dinikmati ketika penerbangan ke Bangkok dan Jakarta nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Farhan, pertama kali meraikan Aidilfitri di awam biru membawa penumpang ke Cebu, Filipina.

Senasib dengan Deja ialah seorang lagi pramugara iaitu Farhan Nordin, 25, apabila pertama kali meraikan Aidilfitri di awan biru kerana perlu bertugas membawa penumpang ke Cebu, Filipina.

“Biasanya, untuk penerba­ngan ke Cebu, jumlah penum­pang agak padat kerana ramai mahu pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri.

“Seperti biasa, saya juga membawa makanan tradisi untuk membangkitkan suasana meskipun perlu bertugas di luar negara kerana ia merupakan adat Melayu dan tidak boleh dilupakan,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Farhan ber­kata, sambutan Aidilfitri kali ini juga dilihat sedikit janggal buat keluarganya kerana tidak dapat bersama-sama mereka di Johor.

“Memandangkan ini kali pertama bertugas pada Aidilfitri, keluarga saya merasakan sedikit janggal kerana tidak cukup seorang ahli seperti kebiasaannya kerana saya perlu bertugas.

“Tetapi, saya memberitahu mereka Aidilfitri disambut selama sebulan dan akan pulang ke Johor dalam tempoh itu untuk sama-sama menyambutnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI