PETALING JAYA – Beberapa pasangan muda tidak berkira untuk pulang ke kampung isteri pada hari raya pertama selepas bergelar suami isteri tahun ini.
Malah suami-suami muda itu lebih teruja untuk pulang ke kampung sebelah isteri terlebih dahulu bagi merasai kelainan buat pertama kali beraya di kampung keluarga baharu.
Seorang pekerja swasta, Asma Khairunnisa Jasman, 26, berkata, dia sangat teruja apabila Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut di kampungnya Batu Pahat Johor terlebih dahulu sebelum bergerak ke kampung suaminya, Muhammad Najib Ahmad Hasan, 26.
“Raya tahun ni semestinya balik rumah belah saya dahulu. Seronok sangat apabila suami penuhi permintaan untuk beraya di kampung saya pada raya pertama hingga kedua.
“Untuk raya akan datang, akan berbincang semula untuk dapatkan kata sepakat. Lagipun keluarga belah suami lebih dekat dengan kami sekitar Selangor, jadinya selalu berjumpa berbanding keluarga saya di Johor,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Asma Khairunnisa, dia begitu teruja apabila raya Aidilfitri tahun ini merupakan perayaan pertama dia dan suami selepas mendirikan rumah tangga pada 22 Oktober 2022.
“Rasa excited (teruja), sebab ini lah raya pertama kami sebagai suami isteri dan juga pasangan. Puasa pun kali pertama berbuka sekali. Masa zaman bercinta dahulu duduk jauh, berbuka sama melalui panggilan video sahaja,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman sama, Noratiqah Shaiful Najib, 26, dan pasangannya Mohammad Zul Izwan Ariffin, 26, memilih untuk pulang ke kampung sebelah isteri di Johor sehingga hari raya keempat sebelum bergerak beraya ke negeri Pantai Timur pula.
“Kami berbincang dan capai kata sepakat untuk bergilir setiap tahun. Tahun depan raya pertama di Kelantan pula. Pasangan sebaya usia ini mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2023.
Seorang lagi pasangan yang baru sahaja bernikah pada Oktober tahun lepas, Aida Syafiza Mohd. Zaki dan Muhamad Nasrul Izad Ghazali
Kongsi Aida Syafiza, tahun ini dia merasa seronok dengan pengalaman baharu apabila berpeluang menyiapkan segala keperluan suami isteri untuk menyambut raya.
“Tahun ini pertama kali balik Terengganu belah keluarga isteri,” jelas Muhammad Nasrul.