fbpx

Piala FA: Man. United pamer respons segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED mengesahkan slot final Piala FA selepas meraih kemenangan ke atas Brighton menerusi penentuan sepakan penalti. – AFP

BRIGHTON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag memuji tiga pemainnya yang dianggap mempamerkan aksi cemerlang ketika mengesahkan ­kemaraan ke pentas final Piala FA menewaskan Brighton kelmarin.

Penjaga gol, David De Gea, ­Jadon Sancho dan Marcus Rashford berjaya menarik perhatian pe­ngurus dari Belanda itu selepas meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan pe­nalti 7-6 apabila perlawanan 120 minit ber­akhir tanpa jaringan.

De Gea kembali bangkit memberikan persembahan terbaik selepas aksi mengecewakan ketika mereka tersingkir daripada saingan suku akhir Liga Europa apabila tewas kepada Sevilla Jumaat lalu.

Sementara itu, Sancho dan Rashford sudah melupakan ke­gagalan di pentas Euro 2021 apabila berjaya menyempurnakan tugas ketika sepakan penalti.

Pada penentuan penalti, Uni­ted berjaya menyempurnakan kesemua tujuh sepakan, namun Solly March melakukan remba­tan melepasi palang menyebabkan Brighton terpaksa berputih mata biarpun aksi berlangsung di laman mereka sendiri.

“David telah memberikan aksi terbaik, melakukan beberapa aksi penyelamatan dan ia sering dilakukannya sepanjang musim ini. Kami adalah pasukan yang paling kurang bolos dalam perlawanan di Liga Perdana Inggeris dan kali ini kami melakukannya lagi.

“Rashford dan Sancho, kita semua tahu mereka tidak begitu selesa dengan ­tugas mengambil sepakan penalti, ­namun mereka berjaya menga­wal diri dan me­nyempurnakannya.

“Detik sukar itu sudah berlalu, mereka tenang dan sentiasa fokus ketika latihan mengambil sepakan penalti. Saya tahu ia suasana yang berbeza, tetapi ia akan menambah keyakinan mereka untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ten Hag juga cukup lega dengan reaksi dipamerkan oleh pasukannya selepas mereka tewas kepada Sevilla sebelum ini yang dilabelkan sebagai aksi terburuk dipamerkan sepanjang musim ini.

“Itu bukanlah aksi sebenar kami (tewas kepada Sevilla). Saya tidak tahu apa yang terjadi ketika itu, tetapi kami fokus untuk aksi kali ini. Kami hanya mempunyai tempoh persiapan yang singkat untuk menghadapi perlawanan ini, namun berjaya melakukannya.

“Di Seville tempoh hari, ia adalah aksi paling buruk yang saya lihat. Kami terpaksa menghadapinya, tidak mampu mengubah, tetapi ia menjadi pengajaran berguna untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI