fbpx

MTUC cadang data kontraktor ‘culas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan dicadang menyediakan data kontraktor ‘culas’ untuk digunakan bagi menyelesaikan isu pembayaran pelarasan kadar gaji minimum termasuk tunggakan secara terus kepada pekerja yang terkesan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, tunggakan gaji setiap pekerja kontrak perkhidmatan kerajaan ini seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan mencecah RM3,600, sejak kadar gaji minimum baharu RM1,500 dilaksanakan 1 Mei lalu.

“Walau apa pun sebab kegagalan majikan (kontraktor) membayar gaji minimum sama ada kelewatan kerajaan membayar pelarasan atau faktor kewangan kontraktor bermasalah, pekerja bawahan tidak boleh menjadi mangsa dengan kelemahan sistem yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Kegagalan membayar gaji minimum mesti dilihat sebagai kelemahan sistem kontrak. Sikap tidak bertanggungjawab majikan menyebabkan pekerja tempatan menjadi mangsa buruh paksa, malah merencatkan perkembangan ekonomi negara dan melanggar perintah gaji minimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kamarul Bahrin, pihaknya turut mencadangkan agar penahanan bon kontraktor dibuat sekiranya mereka gagal membayar pelarasan gaji minimum kepada pekerja.

“Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab bagi memastikan majikan membayar tunggakan kepada pekerja dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) boleh menggunakan kuasa bagi memastikan semua pekerja di sektor di bawah kontrak kerajaan mendapat hak mereka,” ujarnya.

MTUC turut menyarankan agar KSM memanggil pihak berkepentingan bagi memastikan isu gaji minimum tidak menjadi beban serta barah sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan.

“Mekanisma pembayaran pelarasan kadar gaji perlu diwujudkan supaya menjadi panduan kepada pekerja dan kontraktor setiap kali perintah gaji minimum baharu diumumkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI