BUKIT KAYU HITAM – Semua pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bebas untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, dekat sini, Sabtu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua dijemput kerana majlis tersebut sememangnya dianjurkan untuk orang ramai tanpa ada yang terkecuali.
Kata beliau, tiada jemputan rasmi dikeluarkan kepada mana-mana pihak kerana konsep rumah terbuka sememangnya hanya dibuat menerusi hebahan.
“Rumah terbuka Aidilfitri mana ada jemputan rasmi? Bila masa pula rumah terbuka kena ada jemputan rasmi? Apabila kita hebahkan, maka ‘mai’lah (datanglah)
“Ini kan sambutan hari raya dan sebab itulah semua dijemput. Tak ada pun disebut semua dijemput hadir ‘kecuali’ orang tertentu.
“Macam Menteri Besar buat rumah terbuka di Seri Mentaloon (Kediaman Rasmi Menteri Besar), apabila dihebahkan semua pakat datanglah. Masa bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak buat rumah terbuka di Seri Mentaloon dulu pun saya datang juga, tak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota pasukan keselamatan yang mengawal sempadan negara di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mengkritik penganjuran majlis tersebut yang disifatkannya sebagai bahan kempen pilihan raya selain bakal melibatkan perbelanjaan besar iaitu sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kerajaan Persekutuan, sebelum ini.
Begitupun menurut Muhammad Sanusi, beliau akan tetap hadir ke majlis tersebut sebagai rakyat Kedah sama ada dijemput atau tidak.
Mengulas mengenai kritikan Muhammad Sanusi itu, Saifudin berkata, Perdana Menteri berhak memilih lokasi untuk mengadakan majlis tersebut kerana beliau merupakan pemimpin negara ini.
“Anwar Perdana Menteri dan kali ini beliau pilih Kedah, maka tak mengapalah. Kalau Menteri Besar Kedah, beliau boleh adakan di Kulim, Bandar Baharu atau Pendang tetapi tak bolehlah buat di Johor Bahru.
“Sesekali nak ‘mai’ Kedah, tak mengapalah. Muhammad Sanusi juga bangkitkan mengenai pembaziran tetapi kalau setakat jamu lemang, ketupat dan cendol dengan pasang khemah sedikit, berapa duit sangat dan di mana membazirnya untuk beri makan kepada rakyat Kedah?” soalnya.
Ditanya dakwaan Muhammad Sanusi kononnya penganjuran majlis itu bersifat kempen untuk pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, Saifuddin membalasnya dengan kembali menyoal Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu mengenai penganjuran majlis-majlis Aidilfitri yang diadakan di Seri Mentaloon sebelum dan selepas ini.
“Yang beliau jamu orang di Seri Mentaloon itu apa? Beliau pun kempen juga.
“Beliau pun orang lama dalam politik. Kena faham, ini adalah Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dengan rakyat Kedah dan setakat makan lemang, ketupat, sate malah cendol dan ais kacang, takkan jadi membazir,” katanya. – KOSMO! ONLINE