BARCELONA – Gol tunggal jaringan Ferran Torres menghadirkan kelegaan buat Xavi ketika menghasilkan jaringan tunggal untuk memastikan kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Atletico Madrid kelmarin.
Xavi menyifatkan keputusan itu hadir tepat pada masanya selepas dipalit kekecewaan dengan dua keputusan seri tanpa jaringan dengan Girona dan Getafe pada aksi sebelum ini sekaligus mengukuhkan kedudukan di puncak La Liga.
Walaupun hampir untuk mengesahkan kejuaraan, Xavi menjelaskan Barcelona tidak boleh berpesta terlalu awal kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan bagi harungi baki lapan perlawanan selepas ini.
“Walaupun kemenangan ini sesuatu yang mengujakan, sebenarnya kami tidak melakukan apa-apa. Kami belum merasakan kami sudah muncul juara, tetapi jika ada pemain mula meraikannya, sudah pasti kami akan beri ingatan yang tugasan musim ini belum lagi selesai.
“Jika kami tewas, jurang mata akan jadi lapan mata (berbanding Real Madrid), sebab itu ia cukup penting untuk kami kekal dapatkan kemenangan. Kejayaan ini juga bermakna selepas kami catatkan dua keputusan seri,” katanya.
Selepas mengharungi 30 perlawanan, Barcelona kini mengumpul 76 mata diikuti Real Madrid dengan 65 mata.
Bagaimanapun, Xavi mengakui bahawa pasukannya memiliki banyak peluang terbaik untuk menambah jumlah jaringan pada aksi berkenaan, namun digagalkan oleh sentuhan penyudah yang tumpul.
“Saya dapat rasakan kami mempersiakan banyak peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0. Robert Lewandowski, Raphinha dan Gavi antara yang terlepas peluang untuk menjaringkan gol. Kami sebenarnya lebih layak untuk menang dengan lebih daripada satu gol,” jelasnya. – AGENSI