PETALING JAYA – Seorang jururawat menyentuh hati ramai pihak kerana tetap bekerja walaupun berada dalam keadaan tidak sihat, di sebuah hospital di ibu negara.
Menerusi gambar dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Chun Guan, kelihatan jururawat tersebut sedang bekerja sambil alat memasukan air (drip) terlekat di tangannya.
“Sementara tunggu surat daripada doktor saya terlihat jururawat ini. Saya tanya kenapa dia ambil drip, dan dia jawab tidak berapa sihat sambil tersenyum.
“Apabila saya tanya tidak ambil cuti rehatkah, jururawat berkenaan hanya menjawab tidak cukup orang,” tulisnya.
Jelas Chun Guan lagi, jururawat itu berasal dari Terengganu dan akan pulang ke kampungnya pada raya tahun hadapan.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terharu serta memuji pengorbanan jururawat tersebut kerana tetap mendahulukan tugas yang murni itu.
“Tabik dengan pengorbanan jururawat itu. Semoga dia cepat sembuh,” komen Rosie Hong.
“Saya sangat menghormati semua pasukan perubatan. Mereka belajar tinggi-tinggi untuk lulus dan dedikasikan hidup mereka untuk menyelamatkan nyawa orang ramai,” komen Sean Loke.
“Semoga dia cepat sembuh dan diberkati Tuhan sentiasa. Tiada kata lain yang boleh sampaikan pada mereka selain terima kasih sangat-sangat,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE