BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan mengakui terdapat kekangan beberapa aspek termasuk jajaran terlalu luas yang menyebabkan pembinaan pagar baharu di sempadan negara sukar dilaksanakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekangan itu bagaimanapun akan cuba diatasi melalui penerokaan teknologi baharu untuk digabungkan dengan aspek kawalan secara konvensional bagi memastikan keselamatan sempadan negara terjamin.
Menurutnya, antara teknologi baharu yang sedang dalam perhatian kerajaan ketika ini adalah penggunaan dron yang lebih meluas selain teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Dalam aspek kawalan sempadan ini, ia bukan hanya soal pemasangan pagar atau pembinaan pos-pos kawalan sempadan semata-mata.
“Kementerian juga melihat ruang kepada penyertaan inovasi dan teknologi terkini seperti dron dan AI selain pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik untuk tujuan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota pasukan keselamatan yang mengawal sempadan negara di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.
Kata Saifuddin, kerajaan sememangnya mempunyai kekangan besar soal bajet, justeru pihaknya perlu menyeimbangkan antara kawalan cara lama dan teknologi baharu.
“Kita ada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang berlangsung untuk tempoh tertentu di mana banyak inovasi serta teknologi baharu diketengahkan.
“Maka munasabah untuk idea-idea baharu diketengahkan itu dibincangkan serta diangkat ke peringkat tertinggi jika ia memberi manfaat besar kepada keselamatan negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi melaksanakan langkah pembaharuan tersebut, kalangan pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan perlu bersikap terbuka untuk meneroka idea-idea baharu yang diketengahkan. – KOSMO! ONLINE