fbpx

Ibu menangis lebih 12 jam, tiga anak lemas, seorang di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THAMMAMTY (kiri) dan adiknya, R. Turgadevi menunjukkan gambar sepupu mereka yang lemas di Pantai Cermin, Port Dickson kelmarin.

PORT DICKSON – Kesedihan seorang ibu tidak dapat dibendung lagi apabila dia mena­ngis lebih 12 jam selepas tiga anak perem­puannya meninggal dunia sekelip mata apabila lemas di Pantai Cahaya, di sini kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira pukul 5.57 petang, wanita ber­kenaan, K. Anchalay, 52, kehilangan anak sulung, kedua serta bongsu daripada enam beradik.

Mangsa-mangsa ialah, R. Kalaivani, 30, tidak bekerja, Dawige, 29, pekerja swasta, dan Sathiyadevi, 19, penuntut sebuah kolej dalam jurusan rekaan grafik di­sahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak kelimanya, Veeran, 26, pula masih mendapatkan rawatan di dalam ICU selepas berjaya diselamatkan orang ramai.

Terdahulu, Anchalay yang merupakan pekerja pembersihan menyertai empat anaknya serta bakal suami Kalaivani ke pantai peranginan berkenaan untuk mandi-manda.

Menurut anak saudara Anchalay, R. Thammamty, 30, dia yang mengetahui kejadian tersebut pada lewat petang semalam bergegas ke Hospital Port Dickson.

“Ketika menemui ibu saudara (Anchalay), dia dalam keadaan sangat sedih serta menangis ke­rana kejadian itu berlaku de­ngan begitu pantas. Ketika itu, dia duduk di atas batu di tepi pantai.

“Hingga kini ibu saudara masih (pukul 10 pagi) menangis dan tidak stabil. Bapa saudara saya (S. Ravi, 48,) juga masih bersedih atas kejadian ini.

“Biasanya kami akan ke Pantai Morib sahaja untuk mandi-manda. Ini kali pertama mereka pergi ke Port Dickson selepas sehari Kalaivani pulang bersama tunang, J. Sathiswaran, 29, dari Taiping, Perak,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Port Dickson semalam.

Katanya, berdasarkan cerita ibu saudara, dia mendengar orang awam meminta pertolo­ngan dan terkejut apabila me­ngetahui anak-anaknya sedang cuba diselamatkan.

“Hanya Veeran dan Sathiswaran berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

“Petang ini mungkin adik sepupu saya akan dipindahkan ke wad. Mereka datang ke Pantai Cahaya semasa air masih surut dan tidak sedar air pasang begitu pantas,” katanya.

“Kebiasaannya, mereka yang duduk berdekatan di sebuah taman perumahan di Banting, Se­langor, akan memaklumkan antara satu sama lain untuk pergi ke lokasi yang jauh.

“Saya tersedar, Veeran ambil kereta yang diparkir di hadapan rumah saya kira-kira pukul 2 petang. Saya fikir dia nak ke kedai tapi rupa-rupanya mereka pergi ke Port Dickson. Bila dah lewat petang, saya lihat rumah mereka masih belum dinyalakan lampu dan mula tertanya-tanya,” ceri­tanya.

Sebaik dimaklumkan Veeran dikejarkan ke hospital, dia me­nyangkakan mereka terlibat kemalangan jalan raya.

“Namun bila sampai ke hospital baru saya tahu mereka lemas dalam kejadian di Pantai Cahaya,” katanya.

Menurutnya, apa yang membuatkannya sangat sedih adalah mereka sangat rapat dengan tiga mangsa.

“Kalaivani bakal berkahwin dengan Sathiswaran pada November ini setelah bertunang kira-kira lapan tahun.

“Mereka juga sedang membuat persediaan untuk praperkahwinan dalam masa terdekat,” katanya sambil memaklumkan kesemua mendiang akan dibakar di Banting.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, berdasarkan siasatan, ibu mangsa terdengar suara meminta tolong dan nampak dua anak dan seorang rakan naik ke darat dalam keadaan cemas, manakala dua orang lagi masih berada di laut.

“Operasi menyelamat dilakukan Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang berjaya menemui dua orang lagi mangsa.

“Namun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Port Dickson. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI