NEWCASTLE – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe nyata gembira melihat ketajaman yang dipamerkan oleh para pemainnya sambil mengakui tidak menyangka mereka mampu melakar kemenangan besar menentang Tottenham Hotspur.
Kelmarin, di hadapan penyokong sendiri di St. James Park, The Magpies melakar kemenangan besar 6-1 ke atas Spurs untuk melonjak ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris biarpun memiliki satu perlawanan lebih berbanding Manchester United.
Perlawanan itu menyaksikan Newcastle sudah berada di kedudukan selesa seawal sembilan minit pertama perlawanan apabila sudah meledak tiga gol sebelum meledak dua lagi gol sebelum babak pertama berakhir.
Separuh masa kedua mereka berjaya menjaringkan satu lagi gol menerusi Callum Wilson sementara Spurs meraih gol saguhati menerusi Harry Kane sekali gus memberi isyarat bahawa anak-anak buah Howe sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Aston Villa sebelum ini.
“Saya tidak menyangka dapat meraih kemenangan besar seperti ini. Kualiti sentuhan penyudah yang dipamerkan sangat hebat, kami begitu tajam setiap kali berada di hadapan gawang lawan.
“Semua cukup hebat pada babak pertama dan tempoh sejam perlawanan. Ini adalah reaksi yang kami mahukan dalam setiap perlawanan dan para peminat sudah tentu menjadi faktor utama kejayaan besar ini,” jelasnya.
Howe turut mengakui bahawa ucapan terima kasih tidak cukup untuk para pemainnya dan enggan menamakan individu tertentu yang memberikan aksi terbaik sambil menyifatkan semua telah memainkan peranan terbaik.
Biarpun berjaya melakar kemenangan besar berkenaan, Howe enggan para pemainnya terlalu dibuai kejayaan tersebut sebaliknya berharap mereka mampu untuk mengekalkan prestasi terbaik pada baki perlawanan untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
– AGENSI