KEMAMAN – Dua lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta Proton Persona di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Pusat Latihan Khidmat Negara Cheneh di sini semalam meninggal dunia.
Mangsa dikenali sebagai Rosliza Mat Hussin, 38 yang beralamat di Jerteh, Besut dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri berusia dua tahun berasal dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus masing-masing disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, setakat ini, enam terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada petang raya ketiga tersebut.
“Rosliza menaiki kenderaan bersama tiga individu lain dipercayai saudaranya yang meninggal di lokasi kejadian manakala Alisha Mardhiah pula merupakan penumpang kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, empat mangsa lain yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2, Tuan Yah Dollah, 61, dan Abd. Halim Ismail, 71.
Beliau berkata, siasatan awal percaya kemalangan berlaku selepas kereta Proton Persona dipandu Shah Rezzal Zanzalani, 27, bersama tujuh penumpang lain dari arah Bukit Besi, Dungun menghala ke Cheneh di sini dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Sebuah lagi kereta Proton Persona dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26, bersama empat penumpang lain termasuk anak perempuannya, Alisha Mardhiah yang turut maut, gagal mengelak dan bertembung dengan kenderaan tersebut,” katanya.
Hanyan berkata, pelanggaran tersebut turut menyebabkan empat individu lain cedera parah manakala tiga lain termasuk kedua-kedua pemandu kenderaan itu cedera ringan. – KOSMO! ONLINE