PETALING JAYA- Pelari maraton dan jurulatih larian Malaysia, Mohd. Syahidan Alias berjaya dalam percubaan Guinness Book Of Records bagi maraton penuh terpantas dengan berbaju Melayu di Marathon London, Ahad lalu.
Mohd Syahidan, yang lebih mesra dikenali sebagai Edan Syah, 36, melalui Facebooknya, telah berkongsi momen manis tersebut.
“Alhamdulilah, misi tercapai! Kami mencapai misi di bawah tiga jam sebagai pemegang Guinness Book Of Records,” tulisnya.
Beliau menamatkan maraton dengan berbaju Melayu dengan catatan masa 2 jam, 49 minit dan 22 saat.
Orang ramai juga turut memuji kejayaan pemuda tersebut dan menyifatkan idea luar kotaknya berjaya memperkenalkan Malaysia secara langsung di mata dunia.
“Hebat anak muda, orang pun akan kenal Malaysia serta baju tradisi kita,” kata Amilin.
“Idea-idea serta kejayaan hebat ini menunjukkan orang kita setanding orang luar,” kata Fadilah Yaacob. – KOSMO! ONLINE.