PETALING JAYA – Tinggal tiga hari sebelum bertukar status menjadi suami orang, penyanyi popular Aiman Tino kini dalalm debar untuk memulakan tanggungjawab besar membina keluarga sendiri.
Bapa kepada penyanyi itu, Yusri Ishak berkata, biarpun masih muda, Aiman sebenarnya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami.
“Biasalah, setiap bakal pengantin terutama lelaki akan berdepan pelbagai perasaan menjelang hari akad nikah. Jadi itu perkara biasa yang saya katakan pada Aiman.
“Saya yakin dia sudah bersedia menggalas amanah sebagai suami, selain pada masa sama rancak mengatur persediaan untuk majlis pernikahan dan resepsi mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Majlis akad nikah penyanyi Ku Reka Dibenci dengan rakan kongsi perniagaannya itu bakal berlangsung di sebuah dewan acara di Segambut pada Khamis ini, sekitar pukul 5 petang.
Kata Yusof, majlis resepsi pula bakal diadakan di Shah Alam, Selangor dengan menjemput 750 tetamu membabitkan kedua-dua belah keluarga pada 6 Mei ini.
“Bagi akad nikah, saya difahamkan jemputan hanya sekitar 100 ahli keluarga terdekat sahaja. Kami tak perlu buat apa-apa kerana semuanya diuruskan pihak berkaitan.
“Sudah tentu jemputan dalam kalangan saudara serta kawan pengantin kita undang pada majlis persandingan nanti.
“Paling penting minta semua mendoakan semoga kedua-dua majlis ini dilancarkan,” katanya.
Pada awal Februari lalu penyanyi berusia 25 tahun itu mendedahkan mahu mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Syarah Haifa pada pertengahan tahun ini.
Dia turut berkongsi maklumat berkenaan acara merisik yang hanya membabitkan kehadiran ahli keluarga terdekatnya sekitar Januari lalu.
Menyingkap bibit pertemuan Aiman dan Syarah, mereka diperkenalkan kawan pada 2019 sebelum sepakat menjadi rakan bisnes perniagaan penyanyi itu sebelum melangkah ke fasa bercinta. – KOSMO! ONLINE