MUAR – Lazimnya kedatangan Syawal disambut meriah, namun tidak bagi pasangan suami isteri yang kehilangan empat anak secara secara serentak dalam kebakaran pada hujung bulan lalu.
Kejadian yang berlaku pada 29 Mac lalu itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3.
Pasangan itu, Tien Ko Htut, 31, dan Nabila Sedu, 30, mengakui mereka masih berduka dan bagai hilang punca sejak pemergian empat anak ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
“Masih terngiang-ngiang suara keempat-empat anak kami. Memang sukar untuk kami menerima ujian ini, namun apakan daya sudah takdir kami kehilangan empat anak dalam sekelip mata.
“Kami pasrah dan reda. Raya sebelum ini memang meriah dan ceria sebab anak-anak suka bermain bunga api.
“Tahun ini hilang segala-galanya, persiapan baju raya pun kami tidak sediakan, Adilfitri perit dan suram bagi kami pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Beting Indah, Taman Bakariah di sini baru-baru ini.
Ko Htut memberitahu, kebiasaannya seminggu sebelum raya merupakan hari yang paling sibuk kerana anak-anak teruja untuk membeli kasut, pakaian raya dan lain-lain barangan kelengkapan hari raya.
Ujarnya, pada tahun ini, anak-anaknya menyatakan hasrat untuk memakai baju raya berwarna hitam, namun dia dan isterinya terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat mereka.
Sementara itu, Nabila memberitahu, luluh hatinya setiap kali melihat lokasi kebakaran kerana masih jelas terbayang anggota penyelamat mengusung keluar jenazah anaknya satu persatu pada hari kejadian.
“Kalau boleh tidak mahu lagi lalu di kawasan tragedi, sehingga kini saya tidak mampu melupakan apa yang berlaku sehingga trauma, terutama bila nampak tapak rumah yang terbakar dan api,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 7.49 malam, 29 Mac lalu, mayat empat beradik tersebut ditemui dalam keadaan sempurna di bilik air dipercayai terhidu asap.
Mengimbau momen sebelum kejadian, Nabila memberitahu, dia dan suaminya keluar membeli barang di kedai yang terletak kurang 10 minit perjalanan dari rumahnya, manakala empat anaknya itu yang leka bermain ditinggalkan di rumah.
“Saya turut berpesan kepada anak-anak jangan usik peralatan elektrik,” katanya.
Nabila berkata, kira-kira lima minit kemudian, suaminya menerima panggilan telefon yang memaklumkan rumah mereka terbakar sebelum ternampak kepulan asap.
Sebaik tiba di rumah, suasana sepi seketika kerana tiada lagi suara anak-anak yang menyambut kepulangan mereka, sebaliknya jasad empat beradik tersebut ditemui di bilik mandi dalam keadaan menyayat hati. -KOSMO! ONLINE