fbpx

Rohana Jalil dipindah wad separa kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR meluangkan masa melawat Rohana yang kini dirawat di hospital semalam.

PETALING JAYA – Penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak Selasa lalu, kini sudah dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU).

Anak bongsunya, Kilafairy berkata, ibunya masih berada pada tahap kritikal, namun tahap kesihatannya lebih baik berbanding sebelum ini apabila boleh bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen.

“Mama masih kritikal, cuma dia dah dipindahkan dari ICU ke HDU iaitu wad separa kritikal. Dia dah boleh bercakap sikit-sikit, selain boleh bernafas sendiri.

“Ada sedikit perubahan positif daripada keadaannya sebelum ini. Cuma mama masih dalam pemantauan rapi doktor,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut pemilik nama penuh Syakila Nisa Jahangir Khan, 30, buat masa ini keadaan ibunya juga masih lemah, sekaligus mudah mendapat jangkitan.

“Sekarang memang dihadkan pelawat, dengan hanya adik beradik mama sahaja dibenarkan berjumpanya. Itu pun tidak sampai 10 minit.

“Dalam situasinya yang senang terkena jangkitan virus, ditambah kes covid-19 yang masih meningkat memang kita perlu elakkan sebarang risiko.

“Apabila keadaannya bertambah baik nanti, saya akan maklumkan kepada kawan rapat mama tentang lawatan. Kami minta doakan mama cepat sembuh,” katanya lagi.

Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil, 68, yang dimasukkan ke HCTM Selasa lalu selamat menjalani pembedahan merawat kebocoran pada usus perut sehari kemudian.

Dua hari sebelum dimasukkan ke hospital, juara Bintang RTM 1980-an itu membuat persembahan bersama Jaafar Onn di sebuah pusat beli belah di Shah Alam, dalam kondisi kesihatan yang agak lemah berikutan sakit perut.

Penyanyi Rayuanku itu sempat membawakan empat lagu, namun pada akhir persembahan dia dilihat mencari tempat untuk duduk, seterusnya terpaksa dipapah untuk dibawa pulang.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarahi Rohana bagi l memberi sokongan moral dan semangat kepadanya untuk terus kuat berhadapan dugaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI