SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 78.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Faris Mohamad Zaini,19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang datang dari arah Gurun ke Alor Setar dipercayai menunggang motosikal itu dengan kelajuan tinggi.
Katanya, mangsa kemudian merempuh bahagian belakang kereta jenis Mazda yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.
“Siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya walaupun pemandu kereta berusia 31 tahun meletakkan kon di belakang kenderaannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE