LONDON – Sebuah lokasi tarikan pelancong yang digelar ‘jambatan kematian’ telah dirobohkan demi keselamatan orang ramai, lapor laman berita Mirror UK semalam.
Laluan yang terletak di Wales itu menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong yang cuba berjalan di atasnya dan menyiarkan aksi itu di media sosial.
Pihak berkuasa memutuskan untuk meruntuhkan laluan tersebut di tapak National Trust di Rhiw Goch, Snowdonia untuk mencegah masalah kesihatan dan keselamatan.
Bagaimanapun, di sebalik semua usaha tersebut, pelawat terus berkumpul di tempat yang digelar tarikan paling bahaya di Britain itu untuk bergambar.
Laluan itu pada asalnya digunakan oleh nelayan untuk memasang perangkap ikan di sungai yang mengalir ke kaki tebing.
Trystan Edwards dari National Trust Cymru berkata: “Laluan itu berkarat, usang dan terletak tinggi di atas sungai, ia tidak selamat.
“Adalah penting untuk membantu memastikan komuniti tempatan kita selamat dan selepas perbincangan dengan majlis komuniti tempatan, jelas bahawa tangga itu menyebabkan masalah,” katanya. – Agensi