PETALING JAYA – Bapa kepada pelakon Nadiya Nisaa meninggal dunia di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah, malam tadi.
Menurut Nadiya, bapanya Kamaruddin Murat dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Madinah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru ketika mengerjakan ibadah terbabit.
“Abah kena ‘lung infection’ ketika mengerjakan umrah,” coretnya menerusi Instastory.
“Dukacita dimaklumkan bapa saya Kamaruddin Murat telah kembali ke rahmatullah pada 23 April 2023 pukul 8.30 malam (waktu tempatan).
“2 Syawal 1444H di Hospital King Salman, Madinah. Pengebumian akan berlangsung di sana dan masih dalam proses,” tulis kakak sulung Nadiya, Min Luna.
Kongsi Min lagi, bapanya sempat menghantar mesej terakhir kepadanya: “Abah, your last message was ‘I love you too’ (mesej terakhirnya dia sayang saya juga).”
Jenazah dikebumikan di Tanah Suci dan sebuah kenduri tahlil akan diadakan di Masjid Bandar Baharu, Kedah selepas maghrib hari ini (24 April 2023). – KOSMO! ONLINE