SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis mengalami kecederaan pada rahang dan mata kiri selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Bagan Dalam di sini pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang anggota dengan sebuah lagi motosikal yang tidak dapat dikenal pasti kira-kira pukul 7.55 pagi tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan anggota di Balai Polis Butterworth sedang membuat pemantauan anggota bertugas.
“Siasatan mendapati, motosikal yang ditunggang anggota dari arah Bagan Luar menghala ke Bagan Dalam telah bergesel dengan dengan sebuah motosikal. Bagaimanapun, penunggang motosikal tersebut disyaki telah melarikan diri.
“Justeru, pihak polis sedang giat mengesan penunggang motosikal terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, anggota polis terbabit kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami kecederaan pada bahagian rahang dan mata sebelah kiri, luka dahi, jari kedua-dua belah tangan dan kaki.
Beliau memberitahu, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau mana-mana saksi yang mempuyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi segera Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) ditalian: 04-5759122 atau boleh datang ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes ini iaitu Inspektor Jenny Jay Rumalin ditalian 013-8781700,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE