PETALING JAYA – Berbaki kurang tiga jam lagi tol percuma, trafik dilaporkan tinggi dan perlahan di kebanyakan lebuh raya utama setakat pukul 9.30 malam ini.
Menerusi hantaran di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, trafik di Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak @ E8 dilaporkan sesak ke arah ibu kota di Karak ke Plaza Tol Bentong terus ke Lentang.
“Trafik turut perlahan dari Bukit Tinggi ke Genting Sempah terus ke Gombak.
Trafik dilaporkan sesak lebih dua jam dari Karak ke Bukit Tinggi dan sejam kelewatan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak,” katanya.
Di Kelantan, trafik bergerak perlahan selama satu jam setengah di Lebuh raya Pantai Timur dari kedua-dua arah antara Tanah Merah dan Machang.
Sama juga seperti di Jalan Kota Bharu Kuala Terengganu, pengguna jalan raya dijangka mengalami kelewatan satu jam dari Masjid Jabi ke Kampung Bahagian dan dari Permaisuri ke Kuala Terengganu.
“Di Negeri Sembilan, trafik juga sesak lebih dua jam di Jalan Kuala Pilah dan Jalan Kuala Klawang ke Seremban.
“Trafik turut perlahan ke arah Utara di Tapah ke Simpang Pulai, Ipoh (U) ke Sungai Perak, Kuala Kangsar ke R&R Bukit Gantang dan Changkat Jering ke Jawi.
“Sama juga ke arah Selatan, dari Kepala Batas ke Hutan Kampung, Alor Setar (U) ke Gurun, Sungai Petani (U) ke Bertam, Bukit Tambun ke Jawi, Bandar Baharu Sungai Perak, Simpang Pulai ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Hentian Ladang Bikam ke Sungkai dan Tanjung Malim ke Rawang,” katanya.