PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai akaun TikTok atas nama JPJeBID.
JPJ menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pihaknya mengambil berat isu tular mengenai penjualan nombor pendaftaran dan penggunaan logo JPJeBID melalui platform itu.
“Untuk makluman, jabatan ini tidak mempunyai akaun TikTok JPJeBID serta mengeluarkan apa-apa risalah berhubung penjualan nombor pendaftaran seperti di akaun tersebut.
“Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menghubungi JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat,” katanya.
Katanya, JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya.
Jelasnya lagi, orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan boleh menyalurkannya menerusi http://jpj.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
Tinjauan di aplikasi mendapati, akaun itu mempunyai 52,200 pengikut dengan mengumpul keseluruhan lebih 161,000 ‘likes’.
Perkongsian terakhir di akaun berkenaan adalah berhubung plet pendaftaran terbaharu negeri Kedah menerusi siri abjad terkini, AMY. – KOSMO! ONLINE