KUALA PENYU – Seorang wanita rentung ekoran terperangkap dirumahnya dalam kebakaran di Kampung Gerowot pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, Ninik Yanuwati, 48, ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan.
Suami mangsa, Jumin Ansiu, 52, melecur atas lengan kiri dan kanan serta bahu, belakang badan selepas nekad meredah api marak demi menyelamatkan isterinya yang terperangkap.
Dua anak pasangan berkenaan iaitu Ellisa Easwerina Christy Jumin, 13, dan Marathon Wilson Abed Nego Jumin, 9, serta ibu kepada Jumin Sinap Suram, 78, selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.57 pagi.
“Seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian. Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 80 peratus.
“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Iswara. Sebaik api berjaya dipadamkan, terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua dan seorang lagi mangsa lelaki iaitu suami mangsa melecur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai terperangkap dan cuba diselamatkan oleh suaminya, namun gagal sebelum isterinya ditemui rentung manakala Jumin melecur.
“Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan. Operasi pemadaman ditamatkan pada pukul 10.10 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE