MELAKA – Polis menahan seorang peniaga lemang yang tular klip videonya memukul pelanggan menggunakan buluh sehingga cedera gara-gara berang didakwa menjual juadah yang tidak masak, semalam.
Suspek berusia 41 tahun ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam di tepi Jalan Kota di sini oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada pukul 8.25 malam, kelmarin.
“Mangsa yang merupakan pesara tentera berusia 61 tahun dikatakan telah membeli lemang Jalan Bukit Beruang Utama untuk dijadikan juadah berbuka puasa, namun setelah membelah lemang tersebut dia mendapati ia tidak masak.
“Mangsa kemudian telah pergi semula ke gerai terbabit untuk menukar lemang yang dibawanya di dalam bekas tetapi peniaga tersebut dikatakan enggan melihat, sebaliknya membelah salah satu lemang yang dibeli mangsa bagi menunjukan lemang tersebut masak sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Semalam tular satu klip video berdurasi 20 saat di laman sosial yang memaparkan seorang penjual lemang dan lelaki dipercayai pelanggan gerai terbabit bergaduh gara-gara lemang dijual didakwa tidak masak.
Ujarnya, susulan itu berlaku pertengkaran dan penjual lemang terbabit bertindak memukul mangsa menggunakan buluh lemang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di telinga dan tangan.
Christopher berkata, suspek telah ditahan dan rampasan barang kes dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan mendakwa mangsa menuduhkan menjual lemang yang tidak dimasak serta merakamkan video dengan niat menularkan kejadian tersebut.
“Mangsa juga telah membaling sebekas lemang yang dikatakan dibeli di kedai terbabit, menyebabkan suspek berang,” katanya.
Katanya, rakaman percakapan terhadap suspek telah diambil sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
Lemang tak masak….tapi boleh kot bincang elok-elok…. pic.twitter.com/ZrmXzIPXSf
— MYNEWSHUB (@mynewshub) April 22, 2023