MANJUNG – Seorang lelaki obesiti seberat 140 kilogram (kg) yang beriadah di Bukit Tiga Ratus di Seri Manjung di sini terpaksa diusung turun oleh lapan anggota bomba apabila dia mengalami patah kaki setelah tergelincir petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa lelaki obesiti tersebut oleh orang awam pada pukul 1.50 petang hari ini.
Susulan panggilan itu, katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung bergegas ke lokasi lelaki berusia 44 tahun berkenaan yang menjalani aktiviti riadah di bukit tersebut bersama rakannya.
“Mangsa berbangsa Cina ditemui pada ketinggian 51 meter di bukit tersebut. Dia dipercayai telah tergelincir dan mengalami kepatahan di bahagian pergelangan kaki kiri,” katanya hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan pengusung untuk membawa turun mangsa serta memberinya rawatan awal.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk tidakan selanjutnya,” katanya yang turut memaklumkan, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE.