KUALA TERENGGANU – Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah kereta Perodua Myvi di
Kilometer 21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus pada kelmarin meninggal dunia hari ini.
Mangsa, Nik Nordin Jusof, 51, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.02 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, lelaki yang berasal dari Pulau Melaka, Kota Bahru, Kelantan itu mengalami patah kaki kiri akibat kemalangan tersebut.
“Sebelum ini, pasangan suami isteri Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan Siti Faridaf Ahmad, 46) yang menaiki kereta Perodua Myvi telah maut di lokasi kejadian.
“Anak mereka (Che Ku Batrisya) yang berusia 18 tahun pula cedera parah,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Zaki berkata, Che Ku Batrisya sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan pasangan suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE