WASHINGTON – Seorang lelaki mendedahkan bahawa keluarganya enggan menghadiri majlis perkahwinannya kerana dia telah menjual harta pusaka untuk membayar acara serba mewah itu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Dalam satu hantaran di laman forum Reddit, lelaki itu memberitahu bahawa satu barangan yang tidak dinyatakan telah diwariskan kepadanya selepas bapanya meninggal dunia.
Lelaki berusia 39 tahun itu dan tunangnya yang berusia 38 tahun kemudian memutuskan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang mewah kerana menganggap ia sebagai peristiwa paling penting dalam hidup mereka.
“Saya tidak begitu menyukai tradisi keluarga besar, jadi walaupun ia adalah perkara yang bagus untuk dimiliki (harta pusaka), saya tidak begitu terikat dengannya.
“Saya mempunyai banyak lagi kenangan indah tentang ayah saya dan saya tidak memerlukan pusaka mewah untuk mengingatinya,” katanya.
Adik lelakinya yang berusia 34 tahun kemudian meyakinkan ahli keluarga lain untuk tidak menghadiri majlis perkahwinan itu selepas tindakan lelaki tersebut.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai pengguna Reddit di ruangan komen.
“Anda tahu keluarga anda sangat mengambil berat tentangnya (harta pusaka), jangan terkejut mereka tidak muncul pada hari istimewa anda,” komen seorang netizen. – Agensi