SETIU – Kawasan hutan seluas lima hektar berhampiran pantai peranginan, Pantai Rhu Sepuluh di sini mengalami kebakaran hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd. Mazimi Mohamad berkata, kerja-kerja pemadaman sedang giat dilakukan.
“Setakat ini, kebakaran hutan itu telah menjejaskan kawasan seluas lima hektar dan dikhuatiri ia boleh merebak lebih besar lagi.
“Sehubungan itu, kerja-kerja pemadaman secara total sedang giat dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Mazimi berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemadaman Hutan Rhu Sepuluh akan memakan masa sekurang-kurangnya sehingga Rabu ini.
Tambah beliau, punca kebakaran hutan terbabit masih dalam siasatan namun cuaca panas pada masa ini mungkin puncanya. – KOSMO! ONLINE.