LUMUT – Dua daripada tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan dera seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui tepi jalan kira-kira lima hari lalu, disambung reman hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun dan perempuan berusia 29 tahun disambung reman sehingga Jumaat ini.
“Sementara, seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang ditahan bersama dua individu tersebut sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akhbar ini sebelum melaporkan seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan dekat sini, pada pukul 11.50 pagi 17 April lalu, oleh seorang lelaki tempatan sebelum membawanya ke balai polis.
Hasil pemeriksaan perubatan di Hospital Seri Manjung mempercayai mangsa telah dirogol dan terdapat kesan kecederaan lama dan baharu pada tubuhnya.
Berikutan itu, dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada malam hari sama dan direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 40 tahun didapati mempunyai rekod jenayah lampau. – KOSMO! ONLINE.