fbpx

Sultan Selangor tunai solat Aidilfitri bersama 3,000 rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan bersalaman dengan jemaah yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 3,000 rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum dan selepas selesai menunaikan solat, baginda dan Tengku Amir turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyertai majlis santapan di masjid berkenaan.

Sementara itu, dalam khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Hari Kemenangan, Hari Perpaduan’ yang dibacakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menyeru umat Islam mengutamakan perpaduan, penyatuan dan persaudaraan untuk menjamin maruah agama.

Katanya, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah yang sentiasa meninggalkan segala persengketaan, perpecahan, perkelahian, pergaduhan dan hasad dengki.

“Kembalilah kepada kebenaran dan berpegang teguh dengan ajaran Islam selain membentuk usrah, keluarga dan ukhuwah kerana Allah.

“Hidupkanlah semangat bantu membantu atas dasar takwa kepada Allah. Bersatulah kita dalam melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI