KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 3,000 jemaah lain di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini hari ini.
Turut berangkat dua anakanda baginda iaitu Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.
Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Terdahulu dalam perutusan Aidilfitri, Sultan Mizan menitahkan agar Hari Raya Aidilfitri terus dijadikan medium menyuburkan budaya kunjung-mengunjungi dan menziarahi tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
Baginda bertitah, amalan meraikan kepelbagaian tersebut dapat mengekalkan toleransi antara kaum serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Pupuklah semangat ini dalam kalangan anak-anak kita agar kedamaian ini kekal pada masa akan datang.
“Hari raya boleh dijadikan sebagai medium untuk kita bersama-sama menghormati kewujudan kepelbagaian di negara ini dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE