KAJANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan detik cemas apabila bilik simpanan kucing di rumahnya di Country Heights, di sini, terbakar, petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.30 tengah hari sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan BPP Bangi digerakkan ke kawasan terbabit.
“Setibanya Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohamad Hazrumi Halim di lokasi, terdapat kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat bangunan kelas A.
“Bahagian bilik simpanan kucing berukuran seluas 400 kaki persegi terbakar sebanyak 15 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Morni, api berjaya dipadamkan dan tiada mangsa terlibat dilaporkan. – KOSMO! ONLINE