fbpx

Sifat pemurah dorong Hasnah jadi usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASNAH menunjukkan antara produk bumiputera yang ditawarkan di Mak Long Mart.

Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Begitulah prinsip hidup usahawan berjaya yang juga pemilik kedai serbaneka, Mak Long Mart iaitu Datin Hasnah Abd. Samad.

Menurutnya, kehidupan serba susah dahulu menjadi pembakar semangat untuk dirinya berjaya serta membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, kejayaan yang diraihnya ketika ini turut menjadi inspirasi kepada ramai kaum Hawa.

“Saya orang susah dan hanya gadis kampung biasa. Ayah saya meninggal dunia ketika saya berumur 12 tahun.

“Arwah ayah seorang petani yang mengusahakan kebun kelapa dan kopi. Emak pula suri rumah sepenuh masa.

“Selepas ayah meninggal dunia, emak ambil alih semua kerja termasuk mencari nafkah untuk kami adik-beradik yang masih kecil.

“Alhamdulillah, arwah ayah ada tinggalkan kebun miliknya. Walaupun hidup susah, kami sekeluarga dapat makan hasil daripada kebun itu.

“Memanglah tidak mewah kerana kami makan makanan yang ditanam sendiri. Tetapi cukuplah untuk mengisi perut,” katanya kepada Aura.

Tambah wanita berusia 49 tahun itu, disebabkan kesusahan hidup, niat dan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading terpaksa dikuburkan.

“Duhulu, saya memang bercita-cita mahu belajar lebih tinggi.

“Namun, disebabkan keadaan kewangan yang tidak mencukupi dan kekurangan lain, saya tamat belajar sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja,” katanya.

Jelas anak kelima daripada tujuh beradik itu, biarpun tidak belajar tinggi, namun amalan suka berbuat baik dan bersedekah membuatkan rezekinya melimpah-ruah.

Kedai serbaneka, Mak Long Mart yang diusahakan oleh Hasnah mula beroperasi pada 2020.

“Ini semua soal rezeki, tetapi ia perlu disusuli dengan usaha berterusan. Rezeki tidak datang macam itu sahaja, kena ada usaha. Sentiasa berbuat baik dengan orang. Insya-Allah, rezeki itu akan datang kepada kita.

“Salah satu sebab saya bersetuju untuk buka kedai ini bersama suami adalah kerana mahu bersedekah dan berinfaq kepada mana-mana pihak atau sesiapa sahaja.

“Agak mudah apabila ada kedai sendiri. Kami juga menyediakan food bank (bank makanan) setelah beberapa bulan kedai ini dibuka.

“Sesiapa sahaja yang datang tanpa mengira kaum boleh ambil makanan asas yang diperlukan seperti beras, susu, gula dan banyak terutama ketika Ramadan serta Syawal ini,” ujarnya.

Tambah Hasnah, sejak Mak Long Mart beroperasi sekitar November 2020, ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Jelasnya, ia secara tidak langsung memberi ruang serta peluang kepada para peniaga industri kecil sederhana (IKS) menjual produk-produk mereka.

“Niat saya dan suami buka Mak Long Mart adalah untuk memudahkan para pelanggan membeli barangan keperluan yang mereka mahukan.

“Pada masa sama, kami ingin membantu masyarakat dengan membuka peluang pekerjaan.

“Ini kerana, ramai yang berkelulusan tinggi tetapi tiada pekerjaan. Jadi, inilah peluang untuk mereka membina kerjaya bersama kami,” katanya.

Selain itu, menyedari kesusahan ramai peniaga IKS terutamanya ketika pandemik Covid-19, Hasnah memberi peluang kepada mereka menjual produk makanan di Mak Long Mart.

Ditebak mengenai sambutan Aidilfitri, Hasnah memberitahu, dia dan keluarga akan berkumpul dan beraya di kampung halamannya di Kapar, Klang.

Terangnya, mereka sekeluarga akan bercuti selama seminggu pada hari raya kali ini bagi meluangkan masa bersama insan tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI