PETALING JAYA – Pemuda UMNO meminta Pas supaya bersangka baik terhadap sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Islam mengajar umatnya untuk bersangka baik.
“Tetapi kalau hati dan pemikiran dah disetkan untuk jadi negatif, maka apa yang orang lain buat semua tidak kena, yang bagus diri sendiri sahaja.
“Baguslah bila jamuan raya dibuat di negeri pimpinan Pas, yang dapat manfaat bukan pemimpin Pas sahaja tetapi semua rakyat di dalam negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Muhamad Akmal berkata, jika tidak membuat sambutan Hari Raya Aidilfitri berkenaan, Kerajaan Pusat akan dituduh membuat tiga negeri tersebut umpama ‘anak tiri’ walaupun peruntukan pusat kepada negeri terbabit antara yang terbanyak berbanding negeri lain.
“Jamuan raya ini macam sedekah jugalah. Macam yang tuan guru beritahu sedekah tidak mengapa bukan rasuah,” katanya. – KOSMO! ONLINE