BALING – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangi terlanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Kuala Kuang, Kupang, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.50 malam itu, mangsa, Muhammad Faizun Faidhlullah Mat Rashid, 20, dari Kampung Teluk Petata, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggangi mangsa datang dari arah Kupang menghala ke Kemangi.
“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu dipandu seorang wanita tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri jalan.
“Mangsa telah mengelak ke kanan dan terlanggar pacuan empat roda tersebut di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya, di sini hari ini.
Kata beliau, keadaan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala kerana tidak memakai topi keledar serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang cuai dengan keluar dari simpang sehingga menyebabkan kemalangan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE