fbpx

Pasar awam Larkin ‘cekik darah’ – KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAHUDDIN (kiri) tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga daging yang menjual melebihi harga kawalan ditetapkan semasa melawat pasar awam Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Segelintir peniaga daging yang beroperasi di Pasar Awam Larkin Sentral di sini, didapati menjual barangan berkenaan pada harga melebihi harga kawalan maksimum ditetapkan kerajaan sempena Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi tinjauan yang dilakukan secara mengejut di pasar berkenaan, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Kita dapat banyak aduan tentang harga tidak berpatutan, mungkin faktor ramai warga asing (Singapura) berbelanja di sini, di kawasan sempadan antarabangsa, peniaga juga sudah terbiasa menjual kepada warga asing.

“Setelah saya tinjau sendiri, memang ada gerai menjual daging import tidak ikut skim harga maksimum ditetapkan. Harga ditetapkan pada RM20 sekilogram, namun mereka menjual pada harga RM24 sekilogram, ini sangat saya kesalkan.

“Tinjauan yang dibuat di kawasan lain sebelum ini mendapati peniaga boleh menjual mengikut harga kawalan, mungkin faktor lokasi berjauhan dengan sempadan, tetapi di Larkin ini, memang KPDN akan ambil perhatian serius sebab ia kawasan tumpuan warga asing berbelanja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral, di sini hari ini bagi meninjau harga barangan sempena Aidilfitri.

Beliau turut meluangkan masa lebih daripada 30 minit dengan berkunjung ke gerai-gerai di pasar berkenaan.

Tambah Salahuddin, sekiranya tindakan tersebut dibiarkan berlarutan, warganegara tempatan yang berbelanja di kawasan itu akan menjadi mangsa.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengakui ayam segar yang dijual di pasar-pasar awam ketika ini bersaiz lebih kecil berbanding saiz kebiasaannya pada waktu luar musim perayaan.

“Tinjauan ayam segar mendapati saiznya agak kecil berbanding biasa, mungkin kerana berlaku permintaan tinggi dalam tempoh beberapa hari ini, namun peniaga masih mematuhi harga kawalan ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram, cuma isu cas pemotongan ayam kita akan cuba selesaikan,” ujarnya.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, tinjauan dilakukan pihaknya beberapa hari ini mendapati tiada sebarang pembelian panik yang dilakukan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI