fbpx

Padah pandu lori tanpa lesen, waktu larangan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (tengah) meninjau lori yang disita JPJ.

KUALA LANGAT – Tindakan berani dua lelaki memandu lori tanpa lesen ketika waktu larangan operasi kenderaan berat memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa di Koridor Banting-Klang, Banting, di sini, semalam.

Kedua-dua lori jenis ‘tipper dumper’ dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Road Banned Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 bermula pukul 12.30 tengah malam.

Pengarah Penguat Kuasa Kanan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan itu dikesan penguatkuasa JPJ Selangor yang menjalankan pemantauan di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lori itu melakukan kesalahan tidak mematuhi waktu larangan kenderaan berat.

“Selain itu, dua pemandu berkenaan didapati tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, semakan turut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insuran telah tamat tempoh.

“Satu daripada lori itu juga dikesan atas pelbagai kesalahan teknikal seperti tayar ‘botak’. Sitaan dilakukan mengikut Seksyen 64 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu lucut hak kenderaan,” ujarnya.

Tambah Lokman, JPJ tidak berkompromi dengan kesalahan seumpama itu dan tindakan sitaan serta lucut hak akan diambil jika gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita juga akan mengambil tindakan keras kepada tonto dan pegawai yang melindungi kegiatan itu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh menyalurkannya ke [email protected] atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ beserta butiran pengadu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI