BEKASI – Anggota pertubuhan Islam Muhammadiyah mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di pekarangan pusat beli-belah Bekasi Cyber Park, wilayah Jawa Barat pagi ini, lapor portal berita berita Kompas.
Berdasarkan penelitian Kompas, ribuan jemaah tiba ke sekitar parkir pusat beli-belah tersebut sejak pukul 5.30 pagi (waktu tempatan).
Barisan jemaah melimpah sehingga ke kawasan Jalan Ahmad Yani, namun ia tidak mengganggu lalu lintas.
Puluhan anggota gabungan tentera dan polis serta agensi perhubungan daerah mengawal sekitar pusat beli-belah itu bagi memastikan solat sunat Aidilfitri berjalan dengan lancar.
Sebelum ini, Pimpinan Pusat Muhammadiyah menetapkan bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh pada hari ini berbanding dengan tetapan pemerintah iaitu esok. – Agensi