LONDON – Pemain antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku dilaporkan akan kembali ke Chelsea pada penghujung musim secara paksa selepas tempoh pinjaman bersama pasukan Inter Milan berakhir tidak lama lagi.
Penyerang berusia 29 tahun itu menyertai Inter Milan secara pinjaman dari Chelsea dengan tawaran menarik selepas skuad Nerazzurri dikatakan membayar €8 juta (RM38.88 juta) kepada Chelsea serta tambahan €3 juta (RM14.8 juta) sebagai bonus untuk pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, kepulangan Lukaku ke Chelsea bertentangan dengan kemahuannya kerana dia lebih suka tinggal di Itali berbanding kembali ke Stamford Bridge.
Penyerang berusia 29 tahun itu turut membantu gergasi Serie A itu merangkul kejuaraan pada 2021 sebelum kembali bersama The Blues dengan perpindahan £98.5 juta (RM478.74 juta).
Bagaimanapun, Inter Milan tidak mahu menandatanganinya secara kekal dan telah memutuskan untuk membenarkan Lukaku pulang ke kelab asalnya.
Inter dikatakan tidak mampu membeli bekas pemain Manchester United itu dengan perjanjian penuh. Justeru, Lukaku akan kembali ke barat London pada penghujung musim ini.
Pada musim ini, Lukaku dibelenggu kecederaan dan hanya meledak tiga gol sepanjang 18 perlawanan bersama Inter Milan. – AGENSI