fbpx

Ibu kru kapal MV Dai Cat 06 yakin anak akan pulang raya pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD SYAFARIZAN sangat rapat dengan ibunya, Siti Nurhasanah dan akan bersama-sama membeli barang keperluan Aidilfitri.

GEORGE TOWN – Keluarga kepada Ketua Operasi kapal kargo, MV Dai Cat 06, Mohammad Syafarizan Mohd. Noor, 24, yang hilang sejak 1 Januari lalu masih mengharapkan kepulangan anak kesayangan mereka untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Meskipun sudah lebih 100 hari tragedi kehilangan kapal yang membawa tujuh kru termasuk lima rakyat tempatan dengan muatan 527 besi paip bernilai RM726,000 dilaporkan, seluruh ahli keluarga tetap percaya Mohammad Syafarizan masih ‘ber­nyawa’.

Bapa Mohammad Syafarizan, Mohd. Noor Mat Isa, 53, berkata, mereka sekeluarga yakin anak sulung daripada tujuh beradik itu akan pulang ke pangkuan keluarga pada hari raya pertama atau kedua nanti.

Menurut Mohd. Noor, naluri keluarga termasuk ibu Mohammad Syafarizan, Siti Nurhasanah, 45, kuat mengatakan yang anak­nya itu kini berada di satu kawasan terpencil di negara jiran, meskipun masih tiada bukti mengenai dakwaan itu.

“Kami harap dia (Mohammad Syafarizan) pulang beraya bersama ibu dan ayah serta enam adiknya. Tidak kisah raya pertama, kedua atau bila-bila, kami tetap tunggu kepulangannya dengan selamat.

“Ibunya juga ada buat kuih raya kesukaan Mohammad Syafarizan iaitu Almond London. Memang setiap kali raya, dia akan bantu ibu keluar membeli barang dan juadah untuk dimakan di pagi raya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jelas Mohd. Noor lagi, sambutan Aidilfitri mereka sekeluarga tahun ini akan diraikan secara sederhana tanpa kehadiran Mohammad Syafarizan.

“Tiada lagi sambutan rumah terbuka untuk rakan-rakan anak (Mohammad Syafarizan) termasuk hidangan bakso istimewa daripada ibunya. Cukup sekadar datang bertanya tentang perkhabaran kami anak-beranak,” ujarnya sebak.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini pihak keluarga masih belum menerima sebarang perkhabaran atau maklumat terkini berhubung penemuan atau lokasi keberadaan kapal ber­kenaan daripada pihak berkuasa.

“Kami terus berdoa akan ke­selamatan kesemua anak kapal walau di mana mereka berada. Jangan buat sebarang andaian selagi tiada bukti penemuan barangan persalinan mereka atau kelengkapan kapal berkenaan,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! pada 2 Februari lalu melaporkan, status keberadaan kapal MV Dai CAT 06 masih misteri dan tidak terjawab setelah genap sebulan laporan mengenai kehilangannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI