KOTA BHARU – Semua pengusaha premis perniagaan, pasar raya besar (Hypermarket), pasar raya (Supermarket), kedai serbaneka dan restoran makanan segera di sini tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, ketetapan notis itu dilakukan berdasarkan keputusan pihak berkuasa negeri Kelantan dan MPKB-BRI.
Menurutnya, pengusaha perniagaan yang gagal, ingkar dan cuai untuk mematuhi notis itu boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM1,000.
“Selain itu, pemilik premis juga berdepan tindakan pendakwaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“MPKB-BRI juga boleh membatalkan lesen dan mengambil tindakan lain yang sesuai selaras dengan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE