fbpx

Beraya dalam rumah berlubang, tunggu masa nak roboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. RANI menunjukkan rumah pusakanya di Kampung Bukit Tanah, Peringat, Kota Bharu yang rosak.

KOTA BHARU – Seorang lelaki hidup dalam ketakutan apabila banyak bahagian rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiaminya berada dalam keadaan berlubang, malah ada yang sudah reput dimakan anai-anai.

Keadaan itu menyebabkan Mohd. Rani Ibrahim, 59, yang tinggal seorang diri sering berdepan bahaya apabila turut berdepan haiwan berbisa terutamanya ular masuk ke rumahnya.

Menurutnya, dia yang tidak pernah berkahwin tinggal di rumah itu di Kampung Bukit Tanah, Peringat di sini selepas kematian ibunya dua tahun lalu.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai buruh di Terengganu dan pulang ke kampung 10 tahun lalu untuk menjaga ibu yang sakit.

“Saya tidak boleh bekerja se­perti dahulu kerana menghidappenyakit darah tinggi yang kronik dan mudah pengsan,” katanya.

Jelasnya, ­dia kini hanya mengharap belas ihsan daripada ahli keluarga selain tiada kenderaan untuk bergerak.

“Saya selalu berjalan kaki sejauh 20 kilometer ke rumah saudara mara untuk merayu bantuan makanan. Saya tiada pilihan kerana itu sahaja jalan yang ada.

“Jika tidak, saya akan mengutip ulam-ulaman di tepi rumah untuk dijual kepada penduduk kampung. Ia sudah cukup untuk membeli makanan ketika berada dalam situasi terdesak,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap ada pihak yang dapat membantu membaiki rumah pusakanya itu kerana jika rumah itu roboh, dia akan hilang tempat berteduh.

“Saya hanya berharap ada pihak yang sudi membantu membaiki rumah ini. Saya tidak sanggup melihatnya tumbang menyembah bumi kerana banyak kenangan di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Mohd. Rani boleh hubungi saudaranya, Muhamad Haniss Mat Hussin di talian 011-1183 2744.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI