MEKAH – Arab Saudi meraikan Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat selepas anak bulan Syawal kelihatan semalam, lapor portal berita Saudi Gazette.
Menurut Jawatankuasa Pemerhati di Balai Cerap Tumair, berikutan anak bulan Syawal telah dilihat, Ramadan kali ini hanya berlangsung selama 29 hari.
Mahkamah Agung negara beraja itu mengesahkan penampakan itu dan mengumumkan Jumaat sebagai permulaan hari raya, menurut portal berita Arab News.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengumumkan bahawa hari raya pertama akan jatuh pada Jumaat, lapor portal berita Al Araboya.
Dalam pada itu, pekerja -pekerja dalam sektor swasta dan bukan kerajaan Arab Saudi telah diberi cuti bergaji selama empat hari dari Jumaat hingga Isnin depan.
Di UAE, cuti Aidilfitri untuk pekerja-pelerja sektor kerajaan persekutuan dan swasta bermula pada 20 April lalu.
Cuti itu dilanjutkan sehingga 3 Syawal iaitu 23 April ini. – Agensi