PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial terkenal, View Chin mendedahkan tindakannya memukul bekas isteri, Shermine Ah Moi atau lebih dikenali sebagai Ah Moi disebabkan wanita itu didakwa berlaku curang dengannya.
Dalam temu bual eksklusif bersama Kosmo!, View Chin mendakwa, dia bertindak demikian kerana terlalu berang selepas mengetahui bekas isterinya itu mengkhianati perkahwinan mereka apabila mempunyai skandal.
Menurutnya, video yang memaparkan tindakan kerasnya itu terhadap Ah Moi telah dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) pada 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ia tular di media sosial.
“Ya, saya mengaku memang saya pukul dia. Video yang viral (tular) itu betul. Ketika itu saya sangat marah apabila mengetahui dia mempunyai lelaki lain. Dia (Ah Moi) juga sudah dua kali curang dengan dua individu berasingan.
“Saya tidak dapat mengawal perasaan marah saya ketika itu apabila mengetahui dia menjalinkan hubungan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan saya. Ketika itu saya tidak boleh kawal diri lalu memukulnya.
“Saya tahu perbuatan saya itu salah, saya minta maaf. Saya tidak sepatutnya bertindak sedemikian,” katanya.
Berita berkaitan: View Chin sedia kahwin Mira
View Chin berkata, klip video yang tular di media sosial juga sudah disunting semula kerana video asalnya panjang dan banyak lagi perkara telah berlaku sebelum kejadian itu.
“Saya yakin video tersebut telah ‘diedit’ (disunting) semula. Video asal panjang dan banyak perkara berlaku sebelum saya memukul dia,” ujarnya.
Ketika ditanya niatnya mendalami Islam dan akan mengahwini rakan sekerjanya, Amirah Aqilah atau Mira hanya hanya untuk mengembalikan semula kepercayaan pengikut di laman sosial terutamanya Melayu, View Chin menafikan perkara itu.
Katanya, dia ikhlas melakukan perkara itu dan niatnya untuk mengahwini Mira juga sudah lama ditanam sejak dia mengetahui bekas isterinya curang.
“Tidak sama sekali, tiada langsung niat seperti itu. Memang sudah lama hasrat ini saya pendam.
Berita berkaitan: Ah Moi mahu ambil tindakan terhadap View Chin
“Biarlah netizen (orang ramai) nak fikir apa, yang penting sekarang saya mahu kontroversi ini segera tamat. Saya sudah penat menghadap tohmahan orang ramai dan tidak larat untuk ‘bersembunyi’ lagi.
“Isu saya dengan Ah Moi biar kami ‘setelkan’ nanti. Saya harap penjelasan saya ini akan dapat meredakan keadaan dan saya yakin selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti ia kembali seperti biasa,” ujarnya yang memaklumkan semua 30 kakitangan kini diberi cuti awal.
Dalam pada itu, View Chin memberitahu, beberapa pembekal dan jenama produk terpaksa ‘hold’ dalam memasarkan produk mereka bersamanya disebabkan kontroversi tersebut.
Menurutnya, kemungkinan untuk pembekal dan jenama produk menarik diri daripada memasarkan produk mereka bersama View Chin adalah tinggi jika krisis antaranya dan Ah Moi berterusan.
“Saya sekarang terpaksa merehatkan perniagaannya buat sementara waktu dan memberi cuti awal kepada kesemua 30 kakitangannya.
“Saya mahu menyelesaikan masalah ini, lagipun dah nak raya, jadi kita bagi pekerja masa untuk berehat,” katanya.
Krisis rumah tangga pasangan View Chin dan Shermine bergolak selepas wanita itu mendedahkan kecurangan bekas suaminya di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan perkongsian Shermine, dia mendakwa View Chin curang dengan seorang pekerja dikenali sebagai Mira semasa dia dalam pantang.
Kosmo! semalam melaporkan, View Chin membuat pengakuan dia telah bersedia memeluk agama Islam dan bakal mengahwini Mira.