KOTA TINGGI – Seramai tujuh lelaki warganegara asing ditahan ketika leka bermain judi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lukut Cina, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tangkapan melibatkan suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu dilakukan pada pukul 10.50 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
“Dalam serbuan tersebut, polis Kota Tinggi telah berjaya menahan tujuh lelaki warganegara asing yang sedang leka bermain judi jenis “Pai Kow” serta pihak polis turut merampas peralatan perjudian dan wang tunai lebih kurang RM268.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua tangkapan akan direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan.
“PDRM Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam kes perjudian. Orang awam juga turut disaran menyalurkan maklumat kepada pihak polis mengenai kegiatan perjudian,” katanya.-KOSMO! ONLINE