PETALING JAYA – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan berkata, penganjuran majlis berkenaan dengan dihadiri Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama adalah bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat yang akan berkunjung ke majlis berkenaan.
“Menteri Besar atau Ketua Menteri juga akan dijemput selain ahli jemaah menteri persekutuan.
“Program di Kedah diangkat sebagai berstatus nasional dengan sasaran kehadiran 25,000 pengunjung.
“Majlis itu yang bertempat di Hotel Raia, Alor Setar bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang diadakan pada 29 April ini,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Sementara itu, di Kelantan, JPM memaklumkan majlis akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula dari pukul 7 hingga 10.30 malam pada 12 Mei dengan sasaran 15,000 pengunjung.
“Di Terengganu pula, sasaran jumlah pengunjung yang sama bagi menghadiri majlis diadakan pada keesokan harinya di dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula 7 hingga 10.30 malam.
“Selain itu juga, terdapat tiga lagi rumah terbuka Aidilfitri yang akan dihadiri oleh Anwar dan dilaksanakan kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,”ujar kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE.