fbpx

Tiada SOP khas Covid-19 sempena Aidilfitri tahun ini – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ZALiHA (kiri) melawat wad kanak-kanak sempena lawatannya di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai hari ini.

KULAI – Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 khas buat rakyat menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini walaupun berlaku peningkatan kes baharu ketika ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, hal itu kerana langkah pencegahan yang telah dilaksana ketika ini diyakini mencukupi untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu berasa panik kerana walaupun berlaku peningkatan, namun situasinya masih dalam keadaan terkawal.

“Memang jumlah kes Covid-19 sedang meningkat, tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Ini kerana penularan baharu melibatkan sub varian Omicron.

“Jadi walaupun ia mudah untuk berjangkit tetapi tahap keterukan bagi kes-kes itu adalah sangat rendah, jadi tidak perlu berasa bimbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Lawatan dan Sumbangan Aidilfitri di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini hari ini.

Tambah Dr. Zaliha, Kementerian Kesihatan bagaimanapun tetap menggalak masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini, khususnya ketika mengadakan kunjungan.

“Pada musim perayaan ini, pastinya akan ada kunjung mengunjung, dan makan-makan, jadi kita minta masyarakat awam peka. Sekiranya mereka berasa kurang sihat, lakukan ujian saringan sekiranya perlu.

“Jika benar mereka dijangkiti, ambil langkah pencegahan dengan menjaga jarak dan pergaulan, manakala langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan amat digalakkan,” ujarnya.

Daripada 9 April hingga 15 April tahun ini, sebanyak 5,149 kes Covid-19 baharu telah dilaporkan, dengan jumlah kumulatif kes yang dikesan sejak penularannya di negara ini telah melebihi 5 juta kes.

Sementara itu, Dr. Zaliha turut memberitahu, KKM telah mempunyai senarai pendek beberapa calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Kesihatan yang ditinggalkan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib Jumaat ini.

Noor Hisham telah menjawat jawatan sebagai ketua pengarah sejak 2013, manakala sepanjang tempoh 35 tahun dalam perkhidmatan, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan ketika pandemik Covid-19.

Malahan, beliau juga dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI