PONTIAN – Suasana pagi di Jeti Sungai Pontian Kecil di bandar Pontian dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan stor penyimpanan peralatan nelayan yang terletak berhampiran.
Kejadian tersebut juga telah mencetuskan rasa panik para peniaga Bazar Hari Raya di Tapak Pasar Malam yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian menerima panggilan kecemasan kebakaran stor daripada melalui talian MERS999 pada pukul 6.11 pagi.
Katanya, pihaknya telah mengejarkan dua jentera FRT dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Pontian baru dengan kekuatan anggota seramai 11 orang
Azhar berkata, sebaik Pasukan Keluar Operasi (PKO)tiba, memang berlaku kejadian kebakaran stor penyimpanan barangan nelayan jenis sementara berukuran 80 x 120 kaki persegi.
“PKO bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan 2 aliran 300 kaki 2 breaching 4 pancutan sumber air pam jentera J1-22, J1-55 dan J5-08 sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, jentera dan anggota baru meninggalkan lokasi kejadian. Operasi ditamatkan pada pukul 9.42 pagi,
“Antaranya barangan yang terdapat dalam stor tersebut seperti jaring ikan, tong ikan dan lain-lain barangan bagi keperluan nelayan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE